Wednesday, February 27, 2013

Kesabaran Mendidik Anak-Anak


Assalamualaikum dan selamat sejahtera.

Kesabaran teruji di kelas Peralihan sebentar tadi. Beberapa anak-anak murid Cina ini sedang bermain lastik-melastik menggunakan tali leher (dan lebih ekstrem lagi dengan tali pinggang). Walaupun aku tengah mengajar di hadapan, penat menjerit-jerit minta mereka diam, malangnya aku ini umpama melukut di tepi gantang.

Kadang-kadang, marah macam ni pun tak guna dah. Bising balik lepas tu.

Seperti biasa aku mengelilingi kelas untuk memastikan mereka semua tidak membuat bising yang keterlaluan, ataupun bergaduh (sebab ada yang menumbuk muka kawan dan ada yang wrestling sampai menangis seorang).

Dan tetiba, ada terdengar bunyi seperti lastikan di belakang telinga aku. Tali leher itu rupanya ada yang nak dilastikkan di belakang aku sehingga hampir kena aku.

Menyirap darah aku. Aku memang nak angkat tangan dan tampar muka budak tu, tapi fikirkan, "Haish, nanti jadi kes pula".

Cuba rotan tangan budak-budak nakal sekarang. Balik report mak bapak,
hasilnya jumpa di mahkamah la.

Ini isunya. Anak-anak nakal sangat dekat sekolah tapi dimarah sahaja tak berguna. Zaman sekarang dimarah pun, mak bapak datang serbu sekolah cari cikgu. Apatah lagi kalau dirotan, dicubit.

Memang ada kes cikgu-cikgu yang merotan sampai lebam badan-badan, tapi kes-kes begitu bukannya merangkumi keseluruhan cikgu pun. Tapi ada orang peduli bila pelajar hentam cikgu?

Sumber: Berita Harian

 Macam kes aku hari ni, macam mana korang nak buat? Berdiam diri saja? Marah lagi? Setakat tu je la?

Panggil mak bapak? Macam mana kalau mak bapak pun tak percaya hang? Defend anak lagi. Cikgu salah itu ini.

Macam mana?

Ibarat pepatah Melayu, Melentur buluh biarlah dari rebungnya. Nak didik anak jadi berguna, berdisiplin, tak mengada-ngada, tak kurang ajar, memang memerlukan penegasan dari kecil lagi. Sebab tu Rasullullah S.A.W. mendidik anaknya dengan adab-adab yang cantik molek.


Dipetik dari Sozcyili.blogspot.com

4 tahap bagaimana mendidik anak mengikut sunnah Rasulullah s.a.w adalah:

Umur anak-anak 0-6 tahun.

Pada masa ini, Rasulullah s.a.w menyuruh kita untuk memanjakan, mengasihi dan menyayangi anak dengan kasih sayang yang tidak berbatas. Berikan mereka kasih sayang tanpa mengira anak sulung mahupun bongsu dengan bersikap adil terhadap setiap anak-anak. Tidak boleh dirotan sekiranya mereka melakukan kesalahan walaupun atas dasar untuk mendidik.

Kesannya, anak-anak akan lebih dekat dengan kita dan merasakan kita sebahagian masa membesar mereka yang boleh dianggap sebagai rakan dan rujukan yang terbaik. Anak-anak merasa aman dalam meniti usia kecil mereka kerana mereka tahu yang anda (ibubapa) selalu ada disisi mereka setiap masa.

Umur anak-anak 7-14 tahun.

Pada tahap ini kita mula menanamkan nilai DISIPLIN dan TANGUNGJAWAB kepada anak-anak. Menurut hadith Abu Daud, “Perintahlah anak-anak kamu supaya mendirikan sembahyang ketika berusia tujuh tahun dan pukullah mereka kerana meninggalkan sembahyang ketika berumur sepuluh tahun dan asingkanlah tempat tidur di antara mereka (lelaki dan perempuan). Pukul itu pula bukanlah untuk menyeksa, cuma sekadar untuk menggerunkan mereka. Janganlah dipukul bahagian muka kerana muka adalah tempat penghormatan seseorang. Allah SWT mencipta sendiri muka Nabi Adam.

Kesannya, anak-anak akan lebih bertanggungjawab pada setiap suruhan terutama dalam mendirikan solat. Inilah masa terbaik bagi kita dalam memprogramkan sahsiah dan akhlak anak-anak mengikut acuan Islam. Terpulang pada ibubapa samada ingin menjadikan mereka seorang muslim, yahudi, nasrani ataupun majusi.

Umur anak-anak 15- 21 tahun.

Inilah fasa remaja yang penuh sikap memberontak. Pada tahap ini, ibubapa seeloknya mendekati anak-anak dengan BERKAWANdengan mereka. Banyakkan berborak dan berbincang dengan mereka tentang perkara yang mereka hadapi. Bagi anak remaja perempuan, berkongsilah dengan mereka tentang kisah kedatangan ‘haid’ mereka dan perasaan mereka ketika itu. Jadilah pendengar yang setia kepada mereka. Sekiranya tidak bersetuju dengan sebarang tindakan mereka, elakkan mengherdik atau memarahi mereka terutama dihadapan adik-beradik yang lain tetapi banyakkan pendekatan secara diplomasi walaupun kita adalah orang tua mereka. 

Kesannya, tiada orang ketiga atau ‘asing’ akan hadir dalam hidup mereka sebagai tempat rujukan dan pendengar masalah mereka. Mereka tidak akan terpengaruh untuk keluar rumah untuk mencari keseronokkan memandangkan semua kebahagian dan keseronokkan telah ada di rumah bersama keluarga.

Umur anak 21 tahun dan ke atas.

Fasa ini adalah masa ibubapa untuk memberikan sepenuh KEPERCAYAAN kepada anak-anak dengan memberi KEBEBASAN dalam membuat keputusan mereka sendiri. Ibubapa hanya perlu pantau, nasihatkan dengan diiringi doa agar setiap hala tuju yang diambil mereka adalah betul. Bermula pengembaraan kehidupan mereka yang sebenar di luar rumah.

Insha’Allah dengan segala displin yang diasah sejak tahap ke-2 sebelum ini cukup menjadi benteng diri buat mereka. Ibubapa jangan penat untuk menasihati mereka, kerana mengikut kajian nasihat yang diucap sebanyak 200 kali terhadap anak-anak mampu membentuk tingkahlaku yang baik seperti yang ibubapa inginkan.

Sekian sahaja coretan untuk kali ini.

P/s: Nak didik anak-anak bukan tanggungjawab cikgu sahaja, ibu bapa pun kena main peranan. Bukan lepas tangan dekat cikgu di sekolah. Cikgu kena tengok 90 anak-anaknya dalam satu hari sahaja di sekolah, masing-masing dengan ragam tersendiri. Jadi apa salahnya tengok dan didik akhlak mereka dahulu di rumah.

No comments:

Post a Comment